SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini memohon semua masjid dan surau Jumaat di Selangor untuk mengadakan solat hajat khas, pada hari ini dan minggu hadapan.
JAIS dalam kenyataan ringkas berkata, solat hajat tersebut bertujuan untuk memohon kebaikan dan pertolongan Allah SWT dalam urusam kes Mahkamah Persekutuan yang melibatkan SIS Forum (Malaysia), pada 19 Jun depan.
“Kes tersebut melibatkan SIS Forum (Malaysia) yang mencabar keabsahan Fatwa Fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama,” katanya, hari ini.
Untuk rekod, SIS Forum Malaysia telah mencabar keabsahan fatwa fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan oleh kerajaan negeri pada 17 Julai 2014.
SIS Forum Malaysia telah mencabar fatwa tersebut di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan kemudiannya dirayu ke Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan terbabit pada 14 Mac 2023.
Setelah gagal di peringkat Mahkamah Rayuan, SIS Forum Malaysia membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mencabar keabsahan fatwa tersebut.—AlHijrah Online