Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SOLAT JUMAAT 16 MASJID TIDAK SAH: TEKS KHUTBAH BELUM DIBETULKAN, KHATIB TIDAK BACA ‘ITTAQULLAH’ –  MUFTI

DALAM NEGARA

SOLAT JUMAAT 16 MASJID TIDAK SAH: TEKS KHUTBAH BELUM DIBETULKAN, KHATIB TIDAK BACA ‘ITTAQULLAH’ –  MUFTI

Khatib didapati menggunakan teks yang belum diperbetulkan menyebabkan solat Jumaat pada 8 November lalu tidak sah kerana khatib tertinggal satu rukun khutbah Jumaat.

Gambar hiasan –fotoBERNAMA

SEREMBAN: Teks khutbah yang belum diperbetulkan menjadi punca solat Jumaat kariah 16 masjid di Rembau, dekat sini, ditafsirkan tidak sah, kata Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.

Beliau berkata, khatib didapati menggunakan teks yang belum diperbetulkan menyebabkan solat Jumaat pada 8 November lalu tidak sah kerana khatib tertinggal satu rukun khutbah Jumaat.

“Khatib tidak membaca pesanan bertakwa kepada Allah dalam bahasa Arab ‘Ittaqullah’ (اتقوا الله) sedangkan ia rukun yang perlu dibaca dengan bahasa Arab.

“Ia hanya membabitkan beberapa buah masjid di Rembau dan tidak berlaku di daerah lain di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kariah masjid berkenaan diminta menggantikan dengan solat Zohor.

Faudzinaim berkata, pihaknya sudah mengeluarkan surat kepada Pegawai Agama Islam Daerah Rembau supaya membuat pemakluman berkenaan perkara itu kepada masjid yang terbabit.

“Nasihat saya kepada jemaah masjid yang terlibat supaya menggantikan dengan solat Zohor,” katanya.

Terdapat lima rukun khutbah Jumaat iaitu memuji Allah SWT, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, wasiat taqwa, membaca satu ayat al-Quran dan doa kepada orang beriman dalam khutbah kedua.

Khatib hendaklah menyampaikan semua rukun-rukun khutbah dalam bahasa Arab walaupun ia tidak difahami oleh jemaah.

Semalam media melaporkan solat Jumaat bagi kariah 16 masjid di Rembau, ditafsirkan tidak sah susulan khatib dikatakan tertinggal satu rukun khutbah Jumaat.

Masjid terbabit ialah Masjid Kariah Pekan Pedas, Masjid Kariah Batu 17 Chembong, Masjid Kariah Astana Raja, Masjid Kariah Pulau Mampat, Masjid Kariah Titian Akar, Masjid Kariah Pedas Tengah dan Masjid Kariah Durian Daun.

Turut terlibat Masjid Kariah Semerbok, Masjid Kariah Pilin, Masjid Kariah Legung Ulu, Masjid Kariah Nerasau, Masjid Kariah Dato Lela Maharaja Sepri, Masjid Kariah Kundur Hulu, Masjid Kariah Miku Lama, Masjid Kariah Sawah Raja dan Masjid Kariah Senama.

Setakat ini isu terbabit tidak berlaku di daerah lain. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading