STIGMA BIDANG TEKNIKAL UNTUK INDIVDU KURANG CEMERLANG AKADEMIK SUDAH LAPUK

KUALA LUMPUR: Bidang pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan TVET sering mendapat perhatian oleh majikan.

“Malaysia kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi dan bertaraf dunia yang majoritinya dipelopori oleh warga profesion teknikal.

“Peluang pekerjaan berkaitan jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda,” katanya sempena Perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021 pada Sabtu.

Jelas Ismail Sabri bidang teknikal juga kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0.

Kerajaan juga katanya telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET.

Sehingga tahun ini, Malaysia telah mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal.

Perdana Menteri turut berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan.

“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid, Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman.

“Bagi sektor awam, Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan, contohnya JKR yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872,” katanya.

Tambahnya JKR juga maju ke hadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (B-I-M), I-Supervision dan E-Perolehan dalam pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan berusaha memastikan para pekerja dalam bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’ berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan. – AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply