SUMBANGAN E-DAGANG KE ATAS EKONOMI NEGARA DIJANGKA MENINGKAT TAHUN INI

KUALA LUMPUR: Sektor eDagang dijangka akan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi pada tahun ini daripada RM115.5 bilion atau lapan peratus pada tahun lepas, berikutan momentum serta penyertaan yang lebih baik daripada perniagaan tempatan.

“Kami yakin angka ini akan terus berkembang berdasarkan kepada peningkatan angka perniagaan yang menggunakan platform digital untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad, sempena dengan Hari eDagang 2019 hari ini.

Acara dua hari bertemakan Dari Tempatan kepada Juara Global!”, mempunyai matlamat untuk menggalakkan dan memberi inspirasi kepada pemilik perniagaan dalam menggunakan eDagang dan perdagangan merentasi sempadan.

Suriani juga berkata ekonomi digital negara yang bernilai RM267.7 bilion pada 2018 (18.5 peratus sumbangan kepada ekonomi), mempunyai potensi dalam mengukuhkan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri yang turut hadir di acara itu berkata platform digital telah membolehkan pemilik perniagaan tempatan untuk menyelusuri lebuh raya eDagang dan berhubung dengan pembeli global.

“Menjelang 2020, eDagang akan menjadi pendorong utama ekonomi digital negara. Oleh itu, Malaysia akan terus memperkenalkan serta memperkemaskan inisiatif baharu yang akan memperkasakan penerimaan e-dagang di kalangan perniagaan tempatan.

“Ia juga akan memupuk minat di kalangan peneraju industri utama yang akan menambah pelaburan strategik mereka ke dalam Malaysia dan di rantau ini,” katanya.

Beliau ketika ditanya mengenai pelaksanaan cukai digital yang akan dibuat mulai 1 Jan 2020, berkata ia akan membantu merapatkan jurang persaingan antara syarikat tempatan dan asing.

“Hari ini, syarikat tempatan sudah pun membayar versi cukai yang sama tetapi tidak kepada syarikat asing…sebagai contoh, Iflix membayar cukai tetapi Netflix, tidak,” katanya.

Cukai digital pertama telah diumumkan semasa Belanjawan 2019, di mana kadar enam peratus akan dikenakan ke atas perkhidmatan digital berbayar termasuk pembelian video, muzik dan aplikasi.

Dianjurkan oleh MDEC, Hari eDagang mengumpulkan peserta industri yang komited untuk membawa ekonomi digital negara ke peringkat dunia.

Lebih kurang 1,500 peserta termasuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan termasuk industri perniagaan eDagang menghadiri acara tersebut. — BERNAMA

Leave a Reply