KUANTAN: Polis Pahang hari ini sudah mengenal pasti suspek utama kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berhampiran jambatan Tanjung Lumpur, dekat Kuantan, Pahang, petang semalam.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 37 tahun itu dipercayai membuat pesanan makanan dijual mangsa secara dalam talian, sebelum bertindak membunuh mangsa.
“Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tapi menetap di sekitar daerah Kuantan.
“Kita sedang menyiasat motif utama jenayah ini memandangkan pemeriksaan awal mendapati barangan kemas milik mangsa hilang ketika mayat ditemui,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Pengarah Cawangan Khas Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.
Tambah Yahaya, pihak polis masih menyiasat motif sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan suspek yang pernah membuat pesanan makanan daripada mangsa sebelum ini dan nampak mangsa memakai banyak barang kemas ketika menghantar pesanan.
Dia turut memaklumkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes selain memaklumkan proses bedah siasat terhadap mangsa dilakukan jam 9 pagi tadi.
“Lepas selesai bedah siasat, baru kita dapat tahu punca sebenar kematian mangsa. Ketika ditemui, memang ada kesan kecederaan, tapi kita tunggu laporan bedah siasat,” ujarnya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menerusi satu kenyataan media memaklumkan mayat seorang peniaga makanan wanita ditemukan di tepi sungai berhampiran jambatan Tanjung Lumpur.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah hari.
Siasatan mendapati mangsa seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang tinggal di daerah Kuantan serta seorang peniaga makanan.
“Menurut saksi, mangsa datang ke kawasan tempat kejadian untuk menjalankan urus niaga secara hantaran kira-kira 7.30 malam semalam (kelmarin),” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.–AlHijrah Online
Pingback: PENIAGA WANITA ‘COD’ MAKANAN DIPERCAYAI DIBUNUH, MAYAT DITEMUKAN DI TEPI SUNGAI – ALHIJRAH ONLINE