TAMBAH BAIK SOP BAZAR: PENIAGA LEGA, WABAK TERKAWAL

Setakat 18 Ramadan lepas, data yang didedahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan 904 kes positif COVID-19 yang mempunyai kaitan dengan penularan di 22 Bazar Ramadan.

Ia dikesan hasil laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

HIDE bertindak sebagai sistem yang menyenaraikan lokasi  titik panas yang berpotensi menjadi penularan COVID-19 dan ia memudahkan pihak tertentu melakukan tindakan awal bagi membendung wabak.

Bertindak atas maklumat itu,  KPKT mengarahkan 22 bazar terlibat di seluruh negara untuk menutup sementara operasi bazar sebagai langkah berjaga- jaga.

Pertama kali bazar Ramadan dibenarkan beroperasi ketika negara masih lagi bertarung dengan pandemik  COVID-19, angka positif meningkat sekaligus membuktikan aktiviti seumpama itu boleh menjadi medium penyebaran dan keputusan untuk tidak membenarkn operasi bazar Ramadan pada tahun lepas satu tindakan yang wajar bagi memberi masa dan ruang kepada kerajaan dan rakyat untuk ‘mengenal’ lebih dekat risiko virus ini.

Namun untuk tahun-tahun seterusnya, larangan penutupan bazar Ramadan tidak boleh dijadikan langkah atau jalan mudah  untuk membendung masalah ini kerana banyak poket peniaga kecil perlu difikirkan.

Apa yang perlu diubah adalah sistem pengurusan bazar yang lebih efisyen dan teratur agar risiko jangkitan itu dapat dikurangkan.

Tidak dapat dinafikan, terdapat pihak berkuasa tempatan yang berusaha sehabis baik agar prosedur operasi standard (SOP) dijaga ketat.

Namun kawasan bazar yang sesak dengan tiada penjarakan fizikal adakalanya berada di luar kawalan pihak berkuasa.

Tinjauan krew Berita Alhijrah sebelum ini di beberapa bazar di ibu negara mendapati, pematuhan penjarakan fizikal masih di tahap rendah di mana kesesakan  berlaku seolah-olah virus COVID-19 tidak wujud dan situasi ini amatlah membimbangkan.

Pengalaman penganjuran bazar Ramadan ketika musim COVID-19 ini haruslah dijadikan panduan kepada pihak tertentu untuk melakukan penambahbaikan di masa akan datang bagi memastikan suasana dan lokasi bazar Ramadan kekal selamat.

Pemakaian pelitup muka, saringan suhu, rekod kehadiran menerusi MySejahtera dan penggunaan cecair pembasmi kuman adalah satu rutin asas yang tidak perlu ‘diulang suara’ lagi. 

Masalah utama ketika ini kaedah penjarakan fizikal satu meter yang sukar untuk dipraktikkan.

Dalam konteks bazar Ramadan, kawalan bilangan pengunjung pada satu-satu masa wajar diberi perhatian mengikut keluasan atau kapasiti bazar.

Kaedah ini boleh dibuat menerusi sistem nombor , dan pengunjung diberi masa terhad bagi memberi ruang kepada pengunjung lain untuk masuk.

Sistem ini telah dipraktikkan di sebahagian bazar cuma pelaksanannya perlu dipastikan berkesan dan tiada yang terlepas masuk tanpa nombor.

Laluan sehala juga mungkin salah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan dengan memastikan tiada gerai atau meja yang terkecuali dari pandangan.

Cara ini bagi mengurangkan kontak dalam kalangan pengunjung apabila tiada pertembungan berlaku. Di setiap gerai pula wajib meletakkan tanda jarak satu meter dan bilangan pembeli dihadkan untuk satu-satu masa.

Selain itu, bagi  mengurangkan risiko jangkitan, kanak-kanak bawah 12 tahun juga tidak digalakkan untuk mengunjungi Bazar Ramadan.

Bilangan peniaga juga mungkin boleh dihadkan kepada dua orang sahaja  sebagaimana yang dipraktikkan di sebahagian bazar Ramadan di Selangor.

Cadangan-cadangan ini mungkin dilihat leceh dan tidak popular, tetapi demi memastikan kelangsungan pendapatan peniaga, dalam masa sama penularan jangkitan dapat dikawal, sesuatu  perlu difikirkan  agar tindakan atau arahan penutupan bazar tidak berulang lagi. Jika pun ada, mungkin berlaku dalam kes yang minimum.

Dalam isu ini, pihak berkuasa tempatan wajar mengambil tempat paling teratas disamping tanggungjawab pengguna sendiri.

Setiap pembaharuan pastinya mengundang ketidakpuasan hati pihak tertentu dengan mengambil kira kesan positif dan negatif.

Tapi fahamilah, kita semua berada di persimpangan dan dalam situasi genting ini sifat pentingkan diri perlu dibuang jauh- jauh.

Ekonomi negara dan rakyat perlu dijana, sama pentingnya dengan ‘rintihan’ petugas barisan hadapan yang perlu kita dengari.

Meskipun kita tidak bersama mereka yang setiap hari bergadai nyawa melawan musuh utama ketika ini, namun usaha kita dalam mematuhi SOP amat besar nilainya  buat mereka.

Kita tidak berpeluang merasai kehangatan memakai PPE, namun disiplin kita adalah kunci utama dalam memastikan  fasaliti kesihatan terus ampuh.

Berapa lama lagi, ‘perang’ ini akan berterusan, jawapannya terletak pada kita.

Mungkin  kita perlu akur dan belajar menerima  hakikat bahawa COVID-19 akan terus wujud dalam komuniti kita.

Andai habis segala usaha dan cara yang dilakukan, harapan terakhir kita mungkin bergantung kepada kejayaan Program imunisasi COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok dengan sasaran 80 peratus penduduk menerima vaksin.

Platform dan jalan telah tersedia, penggeraknya ialah KITA.

Hakikatnya kita belum gagal, cuma masih belum menang. — AlHijrah Online

Penulis adalah Editor / Penerbit Berita Alhijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply