TANGAN KANAN MANGSA SAMUN MOTOSIKAL TERPAKSA DIPOTONG

KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa dipotong tangan kanannya yang cedera parah akibat diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, berkata, doktor terpaksa memotong tangan kanan mangsa pada Jumaat lalu bagi menyelamatkan nyawanya.

“Polis masih mengesan suspek dan belum ada tangkapan dilakukan,” katanya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah malam Khamis lalu, mangsa lelaki mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut laporan, tiga suspek dipercayai warga tempatan melarikan motosikal Y15ZR milik mangsa dengan nombor pendaftaran VFU 814.

Bagaimanapun, polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206.–AlHijrah Online

Leave a Reply