MADINAH: Pelajar Malaysia di Arab Saudi menafikan tawaran perkhidmatan badal haji dengan harga terlalu rendah yang dilakukan oleh pelajar Malaysia di Tanah Suci.
Yang di-Pertua Persatuan Mahasiswa Arab Saudi (PERSADA) Cawangan Madinah, Muhammad Al-Kauthar Affandy berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa poster yang tular di media sosial berhubung tawaran tersebut yang dikeluarkan pihak-pihak tertentu.
Katanya, upah badal haji yang murah adalah mustahil kerana harga pakej paling murah ditawarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada tahun ini mencecah SAR 8000 iaitu bersamaan RM 9,089.85.
“Bilangan pelajar Malaysia di Madinah yang sudah mengerjakan haji (berkelayakan untuk membuat badal haji) adalah sedikit dan kuota yang ditetapkan bagi mendapatkan pakej murah tersebut juga adalah terhad.
“Harga pakej mengerjakan haji bagi pelajar di Arab Saudi adalah sama seperti harga individu yang bermastautin di sini dan tiada diskaun atau potongan harga untuk pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, PERSADA menyeru rakyat Malaysia untuk menyemak serta berhati-hati dengan penipuan sesetengah pihak yang menawarkan badal haji dengan harga terlampau rendah.
Katanya, PERSADA tidak akan bertoleransi dengan mana mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah.–AlHijrah Online