TERCEKIK ANGGUR, KANAK-KANAK DUA TAHUN MENINGGAL DUNIA 10 HARI SELEPAS DIRAWAT

Gambar hiasan

MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun meninggal dunia dipercayai akibat tercekik ketika memakan buah anggur, kira-kira 10 hari selepas menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata Nur Aryanna Danisha Muhamad Shaizat disahkan meninggal dunia pada pukul 9.23 pagi Sabtu ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Melaka.

Katanya terdahulu kanak-kanak itu telah menerima rawatan awal di sebuah hospital swasta di Ayer Keroh akibat tercekik ketika memakan buah anggur di rumahnya di Taman Merbok dekat sini, dan doktor di hospital berkenaan telahpun berjaya mengeluarkan buah anggur itu.

Beliau berkata bagaimanapun kanak-kanak itu didapati masih dalam keadaan tidak stabil dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Kanak-kanak itu (kemudiannya) dipindahkan ke Hospital Melaka pada 31 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Christopher berkata menurut doktor punca kematian kanak-kanak itu ialah ‘Hyporxic Ischaemic Encephalopathy secondary to choking’. –AlHijrah Online

Leave a Reply