TH SERAH ZAKAT RM2.1 JUTA UNTUK ASNAF SABAH

KOTA KINABALU: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM2,104,543.47 bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Menurut TH, bayaran zakat bagi negeri Sabah ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2020 iaitu RM1,774,247.05.

“Saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat khususnya golongan asnaf di Negeri Sabah,” kata Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Nurlaila Said.

Tambahnya, TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh MUIS ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri ini bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.

Majlis serahan zakat diadakan di Pejabat Ketua Menteri, Sabah yang disampaikan Nurlaila kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad yang turut disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2020 terus mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM100,416,202.83 berbanding RM86,185,327.00 pada tahun 2020.

Pada tahun ini, TH turut memperuntukkan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan iaitu program bantuan kewangan untuk golongan asnaf yang memerlukan seperti warga emas, ibu atau bapa tunggal dan golongan kurang upaya; dan Program Ikhtiar yang membantu golongan asnaf melalui suntikan modal perniagaan.

Selain itu dana tersebut turut digunakan untuk Program Iqra’ yang menyediakan bantuan kewangan dan keperluan kepada pelajar asnaf di beberapa universiti awam dan institusi terpilih; dan Program A’fiat yang melibatkan sumbangan alat bantuan sokongan kesihatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply