AMBIL IKTIBAR TRAGEDI ANAK BUNUH EMAK, JANGAN TERJERUMUS NAJIS DADAH

JOHOR BAHRU: Masyarakat perlu mengambil iktibar daripada tragedi anak mengelar leher ibunya yang membuktikan bahawa bahaya dadah sehingga boleh membunuh.

ARTIKEL BERKAITAN – LELAKI MAUT DIGILIS LORI SELEPAS KELAR LEHER IBU

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, tragedi tersebut menunjukkan betapa seriusnya isu dadah di Malaysia.

“Tengoklah apa yang telah berlaku di Kedah, disebabkan dadah sampai sanggup kelar leher ibu, kemudian lari dan maut digilis lori.

“Kita dapat lihat kesan buruk akibat dadah yang perlu diuar-uarkan supaya anak bangsa kita tidak sesekali terjerumus mengambil najis dadah ini,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Semalam, AlHijrah Online melaporkan seorang lelaki yang merupakan penagih dadah maut digilis lori selepas mengelar leher ibu kandung hingga meninggal dunia, dalam kejadian di Batu 5, Jalan Jeniang-Gurun, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa, Sarah Jon, 70, dikelar pada leher dengan senjata dipercayai pisau tumpul oleh anak bongsu daripada empat beradik, pada jam 6.30 pagi.

Mangsa dipercayai melarikan diri selepas membunuh ibunya dengan menunggang motosikal namun mangsa digilis sebuah lori tangki pada jarak lebih dua kilometer dari rumah.

Hasil semakan pihak polis mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk empat berkaitan dadah.–AlHijrah Online

Leave a Reply