TH TUNGGU PENGUMUMAN RASMI RIYADH BERHUBUNG KUOTA TAMBAHAN – ZULKIFLI

IPOH: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi berhubung tambahan 10,000 kuota jemaah haji Malaysia untuk melakukan persiapan mengurus jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tambahan kuota haji itu dijangka akan dimaklumkan Riyadh sekitar bulan Ramadan nanti.

“Insya-Allah sekitar Ramadan ini mungkin akan dapat tahu. Walaupun ia waktu yang singkat untuk membuat persediaan, tapi Tabung Haji akan ambil secara positif untuk membuat persediaan mengikut kadar kemampuannya selain bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah dihadapi bakal jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Perak di Dewan Besar Tabung Haji di Ipoh hari ini.

Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyerahkan sumbangan komputer riba.

Dalam pada itu katanya jumlah sebenar jemaah dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini masih tertakluk kepada situasi pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Beliau bagaimanapun yakin, kerajaan Arab Saudi telah mengambil kira aspek kesihatan, keamanan dan keselamatan yang menjadi agenda utama dan bukannya sekadar penyediaan tempat untuk jemaah haji.

Tambah beliau, mengenai pemilihan bakal jemaah haji pula, ia berdasarkan senarai pada tahun lalu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. — AlHijrah Online

Leave a Reply