TIADA KEMATIAN AKIBAT PENERIMAAN VAKSIN COVID-19 – MENTERI KESIHATAN

Sumber Gambar: ARKIB

PUTRAJAYA: Tiada kematian berlaku akibat penerimaan vaksin COVID-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak bermula Program Imunisasi COVID-19 (PICK) sehingga kini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hanya 20.7 daripada 1,000 dos yang diberikan mempunyai reaksi ringan menerusi kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI).

“Kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) memastikan vaksin selamat dan tidak memudaratkan kesan sampingan yang serius.

“Kadar keseluruhan laporan yang diterima pula adalah 0.53 daripada 1,000 dos.

“Daripada jumlah ini, 0.04 daripada 1,000 dos dikategorikan sebagai AEFI serius,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jelasnya, antara kesan sampingan ringan yang dilaporkan selepas menerima vaksin adalah sakit di bahagian suntikan, kelesuan badan dan pening kepala.

Khairy berkata ada individu yang mengalami kesan sampingan teruk namun hanya memerlukan tempoh rawatan yang singkat di hospital.

“Sehingga hari ini tidak ada satu kes kematian menunjukkan kaitan langsung dengan vaksinasi, tetapi untuk melegakan hati rakyat saya dah bincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, kita akan keluarkan data yang banyak bermula minggu hadapan,” kata Khairy lagi.

–AlHijrah Online

Leave a Reply