TIGA ELEMEN NILAI PRESTASI MENTERI

PUTRAJAYA: Prestasi setiap jemaah menteri yang dilantik akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga elemen tersebut ialah penilaian prestasi kementerian atau jabatan; penilaian kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap ahli jemaah menteri dan kementerian serta jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

“Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama.

“Ianya bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau memaklumkan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan setiap kementerian perlu berlandaskan enam teras utama antaranya, menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; dan meningkatkan kesejahteraan sosial.

Teras utama yang lain ialah mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia; dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Ismail Sabri berkata beliau telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri pada 24 dan 29 September lalu bagi memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan.

Sementara itu, setiap ahli Jemaah Menteri diarahkan mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Kad laporan tersebut bermula dari 1 September 2021 iaitu pada hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.—AlHijrah Online

Leave a Reply