TIGA ORANG AWAM TERKORBAN DALAM SERANGAN UDARA REJIM SYRIA-RUSIA

IDLIB: Sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan udara rejim Syria dan sekutunya, Rusia di wilayah barat laut Idlib, demikian menurut laporan sumber tempatan.

Agensi Berita Anadolu melaporkan serangan udara itu juga menyebabkan sebuah hospital daerah, sebuah masjid dan beberapa rumah rosak, kata sumber yang enggan dinamakan.

Pengarah hospital terbabit, Ali Hessum berkata kemudahan kesihatan itu menyediakan perkhidmatan kepada 6,000 pesakit pada satu-satu masa.

“Hospital ini telah tergendala sepenuhnya. Ia menyediakan rawatan perubatan percuma kepada penduduk setempat dalam pembedahan umum, urologi, x-ray, perkhidmatan kecemasan, pediatrik dan jabatan ginekologi,” katanya.

“Pesawat tempur itu mengebom Kampung Kefer di Idlib sebelum mereka menyasarkan hospital. Mereka memberi kami masa beberapa minit mengosongkan hospital itu. Itulah sebabnya kenapa tiada mangsa orang awam,” katanya.

“Beribu-ribu orang di wilayah ini tidak akan lagi mendapat perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, tentera darat Rusia, Iran dan rejim menyerang dan merampas bukit Museyrife, yang mempertahankan laluan ke Maaretinuman, salah satu bandar terbesar Idlib.

Turki dan Rusia bersetuju pada September 2018 untuk menjadikan Idlib menjadi zon de-eskalasi di mana tindakan pencerobohan secara terang adalah dilarang.

Rejim Syria dan sekutu-sekutunya bagaimanapun melanggar gencatan senjata itu dengan melancarkan serangan secara kerap di dalam zon de-eskalasi itu.

Zon itu kini menjadi rumah kepada kira-kira empat juta orang awam, termasuk beratus-ratus ribu yang dipindahkan pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Syria dibelenggu perang saudara sejak awal tahun 2011 apabila pihak rejim melancarkan serangan ke atas protes pro-demokrasi dengan keganasan yang tidak dijangka.

Sejak itu, beratus-ratus ribu mangsa terbunuh dan lebih 10 juta yang lain hilang tempat tinggal, menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply