PENDANG: Tiga maut, termasuk sepasang suami isteri, dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Alor Pudak, Titi Haji Idris, Pendang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang Supt Rodzi Abu Hassan berkata kemalangan pada kira-kira 11.30 malam itu menyebabkan suami isteri masing-masing berusia 52 tahun dan 34 tahun serta seorang remaja berusia 14 tahun, maut di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda NF ditunggangi remaja berusia 14 tahun itu cuba memotong kereta Proton Wira di sebelah kanan jalan sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z yang dinaiki pasangan suami isteri dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal Yamaha Lagenda 115Z itu tercampak ke lorong kanan dan dilanggar kereta Proton Wira yang sedang bergerak lurus.
“Dua penungang motosikal dan seorang pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –AlHijrah Online