TMJ AKAN BERJUMPA 779 GURU DI JOHOR ENGGAN TERIMA VAKSIN COVID-19

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang didakwa enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.
Baginda bertitah pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.
“Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Insyaallah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah,” titah baginda menerusi ciapan Twitternya.
Hari ini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang memaklumkan dalam Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 bahawa terdapat kira-kira 779 guru di Johor yang menolak untuk menerima vaksin COVID-19.
Mazlan yang merupakan Ahli DUN Puteri Wangsa memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.—AlHijrah Online