TUAN IBRAHIM BERBAHASA MELAYU DI PENTAS PBB

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya di persidangan antarabangsa dipuji orang ramai.

Perkara itu dilakukannya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland hari ini.

Memulakan ucapan dengan lafaz bismillah berserta firman Allah SWT, Tuan Ibrahim yang tampil segak dengan bersuit dan kopiah hitam menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam ucapannya selama kira-kira tiga minit.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November.

Malaysia dijangka akan menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders’ Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge) bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global. – AlHijrah Online

Leave a Reply