TV ALHIJRAH KEKAL SALURAN ISLAMIK NO 1 PADA RAMADAN 2023

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen TV AlHijrah terus kekal sebagai saluran Islamik nombor satu Malaysia pada bulan Ramadan tahun ini.

Menurut kajian Nielsen Media, TV AlHijrah menjadi pilihan utama rakyat Malaysia pada Ramadan dan telah mengungguli tangga pertama saluran Islamik ketika bulan mulia itu sejak tahun 2020.

Pada Ramadan tahun ini, pencapaian saluran TV AlHijrah meningkat 151 peratus berbanding ketika Ramadan 2022.

Peningkatan tinggi direkodkan pada minggu keempat Ramadan iaitu lebih 54 peratus berbanding pada minggu pertama.

Kajian Nielsen Media juga menunjukkan, sejak tahun 2019 pencapaian dan peningkatan saluran TV AlHijrah pada Ramadan tahun ini adalah yang tertinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata antara penyumbang kejayaan itu ialah usaha pasukan penerbitan menyediakan pelbagai kandungan bermanfaat kepada penonton bermula dari siaran slot qiamullai seawal jam 4 pagi hingga slot moreh pada lewat malam.

“Banyak kandungan berimpak tinggi yang dihasilkan khusus untuk penonton pada bulan Ramadan yang mulia.

“Selain itu kita turut mengusahakan dakwah kontemporari mendepani selera penonton yang dilihat semakin meningkat untuk program kerohanian alaf baru. Penonton memang perlukan program kerohanian kontemporari yang segar, dan tidak mengejutkan bagi saya, waktu siaran jam 4 pagi sudah menjadi ikutan dan kebiasaan terutama pada bulan Ramadan.

“Kebangkitan kerohanian yang dilihat berlaku sejak 2019 kerana pandemik COVID-19 kini menjadi satu tabiat kebiasaan bagi masyarakat dan trend itu dilihat selari dengan peningkat jumlah capaian TV AlHijrah,” katanya.

Antara program yang disiarkan TV AlHijrah pada Ramadan kali ini ialah Cinta Ilmu Qiam, Asslamualaikum Sahur, Peristiwa Ramadan, Ihya Ramadan, Kapsul Taranum Challenge, Dokumentari Legasi Mushaf Al-Quran, Rehlal Ruh Haramain, dan Mata Hati Madani.

Selain itu kandungan berilmiah secara santai turut disiarkan melalui program Kerusi Lipat, Camca Ramadan dan Sembang Moreh.

Turut digerakkan program tanggungjawab sosial korporat melalui AlHijrah On The Bus yang menyantuni masyarakat Malaysia untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan program edaran bubur lambuk.

Kemuncak program Ramadan TV AlHijrah tahun ini ialah Khatam Ramadan yang akan bersiaran selama 14 jam dari 5 pagi hingga 7 malam pada Selasa, 18 April 2023.

TV AlHijrah menjangkakan jumlah siaran akan terus meningkat naik pada hari-hari terakhir Ramadan. – AlHijrah Online

Leave a Reply