TV ALHIJRAH SALUR SUMBANGAN BERNILAI HAMPIR RM100,000 KEPADA IMARET

KUALA LUMPUR : TV AlHijrah  menyalurkan sumbangan barang perubatan dan bukan perubatan bernilai hampir  RM100,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO)  Imam Response and Relief Team (IMARET).

Inisiatif itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat TV AlHijrah di bawah program Hijrah Prihatin bagi membantu IMARET yang aktif mengendalikan kes COVID-19 di negara ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Ibu Pejabat IMARET di Selayang, siang tadi.

“Alhamdulillah TV AlHijrah mengorak langkah. Mereka sendiri turun gelanggang bagi membantu.

“Musaadah ini kita akan teruskan dari semasa ke semasa dan saya amat tertarik kerana kreativiti dan inovasi rakan-rakan agensi dalam memberi bantuan dalam pelbagai bentuk,” kata Zulkifli kepada AlHijrah Online. 

Sementara itu, Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran TV AlHijrah, Suffian Yahya, berkata barangan bantuan yang disalurkan bagi kegunaan IMARET antaranya 10 unit komputer riba, empat unit alat mengesan tekanan darah, 6,000 unit pakaian perlindungan diri (PPE) dan empat unit khemah.

“Harapan kami dengan pemberian ini ia akan dapat membantu petugas barisan hadapan lebih-lebih lagi ketika pandemik yang amat meningkat.

“Kami merasakan sumbangan yang diberikan ini dapat digunakan petugas barisan hadapan untuk membantu masyarakat yang terlibat.” katanya.

Presiden IMARET Dr Muhammad Yusri Musa berkata, bantuan seumpama ini amat diperlukan pihaknnya, lebih-lebih lagi melihat kepada situasi pandemik ketika ini.

“Kami sangat bersyukur alhamdulillah di atas keprihatinan TV AlHijrah kerana bantuan yang diberikan.

“Bantuan seperti ini sentiasa diperlukan  lebih-lebih lagi dalam suasana kes COVID-19 yang tinggi sudah pasti kegunaan ‘medical disposable’ juga meningkat dengan sangat tinggi.” katanya

Misi Hijrah Prihatin di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bakal diteruskan di masa akan datang sebagai usaha membantu masyarakat dan negara mengharungi pandemik COVID-19. – AlHijrah Online

Leave a Reply