UMAT ISLAM TIDAK BOLEH MENUKAR FITRAH: YDP YADIM

PUTRAJAYA: Umat Islam tidak boleh menukar perkara yang telah ditetapkan secara fitrah, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Mengulas isu kontroversi membabitkan seorang usahawan lelaki berpakaian seperti wanita di tanah suci, Nik Omar berkata, jantina adalah takdir Allah yang tidak boleh dipilih oleh manusia dan ketentuan itu perlu diterima.
“Kita kena terima hakikat kita dilahirkan sama ada lelaki atau perempuan, kecuali kes terpencil iaitu ‘khunsa’ atau tidak jelas. Itu kes lain.
“Sebagaimana Allah tidak beri pilihan kepada kita untuk memilih bangsa dan etnik. Kita kena terima hakikat. Yang Allah beri pilihan adalah kita hidup atas dunia ini ikut yang dikehendaki oleh Allah atau tak. Itu diberi pilihan,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Program Daie Muda YADIM (DMY) di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi seorang usahawan, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Sajat yang berpakaian wanita di tanah suci hingga menimbulkan keresahan umum.
Nik Omar berkata ibadat seperti haji dan umrah perlu disertakan niat yang ikhlas untuk mendapat petunjuk daripada Allah.
Mengulas mengenai DMY yang merupakan kerjasama antara YADIM dan TV AlHijrah, beliau berkata ia adalah siri kedua program reality TV yang bertujuan melahirkan bakat muda dakwah daripada pelbagai bidang pengajian.
Antara aspek diberi penekanan kepada peserta DMY termasuk pemantapan ilmu, akhlak dan aplikasi teknologi dalam menyampaikan mesej dakwah.
Program realiti TV itu akan disiarkan di saluran TV Alhijrah bermula Mac hingga Julai depan.
Majlis MOU hari ini disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris disaksikan Nik Omar. – AlHijrah Online/Abdul Hakim Hasan