WABAK INFLUENZA A: PENUTUPAN SEKOLAH DI PULAU PINANG DAN SELANGOR

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memantau perkembangan terkini wabak influenza A di semua institusi pendidikan, khususnya di sekolah.

Sehingga hari ini, pihak kementerian menerima laporan penutupan sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa negeri lain ekoran kes jangkitan influenza A dalam kalangan muridnya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat.

“KPM juga mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) Pengawalan Penularan Wabak Influenza A dikeluarkan KPM.

“Operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat pihak KKM,” kata kenyataan itu.

KPM berkata pihak sekolah diingatkan juga untuk memantau murid atau warga sekolah yang dijangkiti wabak ini dan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

“Pengetua dan Guru Besar hendaklah sentiasa mewujudkan kesedaran akan penyakit ini kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

“Kerjasama juga diharap daripada ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah,” kata kenyataan itu.

KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas dan serius bagi memastikan kesihatan murid-murid dan warga sekolah sentiasa terjamin. — AlHijrah Online

Leave a Reply