WANITA HAMIL TERLIBAT KES CURI DI PASAR RAYA DIREMAN SEHARI

BATU GAJAH: Seorang wanita yang sarat hamil sembilan bulan direman sehari hari ini bagi membantu siasatan kes curi di sebuah pasar raya di Lebuh Dewangsa, Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Adnan Basri berkata, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai kelindan lori pula direman tiga hari sehingga Rabu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes yang sama.

Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Adnan Basri, Ketua Polis Daerah Batu Gajah

Menurut Ahmad Adnan, dalam kejadian Sabtu lalu, wanita berusia 20 tahun itu dipercayai telah mencuri sebuah beg pinggang dipercayai milik seorang pekerja pasar raya tersebut sebelum menyembunyikannya di dalam baju mengandung.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, suspek bersama suaminya berusia 29 tahun masuk ke pasar raya berkenaan sebagai pelanggan.

“Kedua-dua mereka kemudian beredar dari tempat kejadian sebaik berjaya mendapatkan beg itu yang di dalamnya berisi wang tunai rm130 dan sebuah telefon bimbit,” katanya.

Menurut Ahmad Adnan, kedua-dua mereka berjaya ditahan di sebuah rumah di Desa Changkat tengah malam tadi dan kesemua barangan yang dicuri ada bersama suspek kecuali wang tunai RM130.

Katanya, hasil soal siasat awal, kedua-dua mereka mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan semakan lanjut mendapati pasangan itu mempunyai beberapa rekod lampau termasuk kes curi. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply