WANITA MAUT RUMAH DIHEMPAP BUMBUNG SEKOLAH TERBANG

SEGAMAT: Seorang wanita meninggal dunia selepas rumahnya dihempap bumbung sekolah yang diterbangkan ribut.

Dalam kejadian di Kampung Tahang Rimau, Segamat lewat petang semalam, mangsa yang maut dikenali sebagai V Mahadevi, 55.

Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Rahmat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bumbung sekolah runtuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seg Wha kira-kira 7.41 petang semalam.

Susulan itu lima anggota serta satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat telah dihantar ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku bumbung sekolah runtuh berkeluasan 5400 kaki persegi diterbangkan oleh angin dan menghempap sebuah rumah bersebelahan sekolah.

“Terdapat seorang mangsa perempun dewasa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan PKO,” katanya.

Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian ribut semalam, beberapa premis lain di Segamat turut terjejas antaranya di Mukim Sungai Segamat, Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh. — AlHijrah Online

Leave a Reply