WARGA EMAS, CUCU LEMAS DALAM KOLAM TERBIAR

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas dan cucu lelakinya ditemukan lemas dalam kolam terbiar berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, di sini malam tadi.
Kedua-dua mayat yang berusia 78 tahun dan setahun tujuh bulan itu ditemukan orang awam dalam keadaan terapung kira-kira jam 7.20 malam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sebelum menghantar anggota dari Balai Polis Tikam Batu ke lokasi kejadian.
“Kolam tinggal itu dianggarkan sedalam kira-kira satu meter itu. Mangsa kemudian dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
“Berdasarkan maklumat saksi, dia melihat orang ramai berkumpul di kawasan kolam lama itu sebelum mendapati ada dua mangsa berkenaan lalu membuat panggilan MERS 999 untuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zaidy, bapa kanak-kanak itu yang juga anak lelaki kepada warga emas tersebut memaklumkan mereka menetap di Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal, di sini.
“Anak lelaki itu memaklumkan bapanya selalu membawa cucu bersiar-siar setiap petang selepas mengambil kanak-kanak itu daripada isterinya yang bekerja di kedai makan berhampiran kawasan itu,” katanya.
Ujar Zaidy, sebelum penemuan dua mayat terbabit, bapa kanak-kanak itu mencari kedua-dua mangsa selepas jam 7 malam sebelum ternampak orang ramai berkumpul di kawasan kolam tersebut.
“Ketika itu dia ternampak bapa serta anaknya dalam keadaan terapung dalam kolam berkenaan. Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan, tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk urusan bedah siasat,” katanya.—AlHijrah Online