EMPAT INSPEKTOR WANITA CATAT SEJARAH KUMPULAN PERTAMA JURUTERBANG PGU

IPOH: Empat pegawai polis berpangkat inspektor mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka ialah inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, Yeoh Yee Chee, Siti Nabila Abdullah dan Nur Hidayah Mohd Aisa merupakan antara 12 juruterbang PGU berjaya menamatkan kursus Lesen Juruterbang Persendirian.

Keempat-empat mereka dianugerahkan lencana sayap juruterbang yang disematkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di Ipoh.

Menurut inspektor Nur Hidayah yang juga penerima anugerah peserta kursus PPL terbaik, beliau berbangga apabila penyertaannya itu bukan sahaja melakar sejarah tersendiri buat PGU, malah memahat kenangan terindah buatnya.

“Cabarannya kerana kami adalah juruterbang wanita yang pertama, jadi kami harus menunjukkan bahawa kami mempunyai kebolehan sama seperti lelaki daripada segi akademik dan penerbangan,” katanya pada AlHijrah Online.

Menurut salah seorang juruterbang wanita, Yeoh Yee Chee, beliau terpanggil untuk turut serta dalam pemilihan juruterbang wanita pada November 2021 kerana mahu mencabar kebolehan dirinya untuk setanding dengan juruterbang lelaki.

“Sebelum ini tiada juruterbang wanita jadi kami sebagai wanita mahu jadi sebagai satu inspirasi kepada masyarakat dan juga PDRM.

“Jadi, kini terbukti, wanita juga mampu dalam bidang penerbangan kerana wanita mempunyai penglibatan minoriti dalam bidang ini,” katanya.

Pegawai-pegawai polis wanita tersebut dipilih menyertai kursus PPL selepas tapisan ketat dilakukan ke atas 36 peserta. –AlHijrah Online

Leave a Reply