WARGA EMAS DISELAMATKAN DARI KEBAKARAN, MENINGGAL BEBERAPA MINIT KEMUDIAN

SIBU: Seorang wanita warga emas sempat diselamatkan daripada sebuah rumah panjang yang terbakar di Nanga Masak, Ulu Katibas, Kapit, kira-kira 200 kilometer dari sini, namun meninggal dunia beberapa minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak berkata Tungtuk Angol yang berusia dalam 90-an menghembuskan nafas terakhirnya, selepas dibawa keluar oleh penduduk lain di Rumah Panjang Sebom yang musnah terbakar Rabu lepas.
“Semasa dibawa keluar, saksi berkata mangsa masih bernyawa, namun beberapa minit barulah mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata siasatan setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah atau khianat dalam kejadian itu dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kapit untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu Andy Alie berkata penduduk rumah panjang memaklumkan Tungtuk sememangnya sudah uzur dan dalam keadaan nazak semasa diselamatkan dari kebakaran itu.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.45 petang, namun disebabkan jarak rumah panjang itu yang agak jauh, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Song yang digerakkan ke lokasi kejadian, hanya dapat tiba pada pukul 8.32 malam.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, rumah panjang tersebut telah terbakar 100 peratus. Berikutan itu, pihak bomba hanya membuat pemantauan bagi memastikan tiada kebakaran berulang berlaku,” katanya.–AlHijrah Online