WARGA EMAS, REMAJA MANGSA KORBAN BANJIR KELANTAN

KUALA KRAI: Seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun maut selepas ditemui lemas di Kampung Kuala Gris dekat Dabong di sini, kira-kira jam 7 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohammad berkata, mangsa ditemukan oleh orang awam kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

ARTIKEL BERKAITAN – PELAJAR TAHFIZ KORBAN KETIGA BANJIR KELANTAN

“Mangsa ditemukan oleh orang awam yang ternampak mayat terapung tersangkut pada pokok di dalam sungai berdekatan tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang warga emas dipercayai terjatuh dan dikhuatiri lemas ketika ingin mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas dekat Kampung Kuala Gris di sini petang semalam.

Sementara itu, satu lagi rekod korban akibat banjir melibatkan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun yang ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok, Kota Bharu, kira-kira jam 7.15 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Mohamad Fazli Tamri, mangsa dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu kira-kira jam 6.20 petang.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Setakat ini, dua kes tersebut menjadi angka korban terawal akibat musibah banjir di Kelantan, yang melanda sejak Jumaat lalu.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply