WARGA PAKISTAN DIDAKWA LIWAT BUDAK LELAKI

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun bulan lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak faham bahasa Melayu selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, Ali Asghar, 20 tahun didakwa melakukan liwat ke atas kanak-kanak tersebut dengan maksud seksual dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam dubur murid tahun dua itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu sebuah rumah flat di Jalan Perai Jaya, Pulau Pinang pada jam 2 petang 27 Mei lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazliyana Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes untuk mendapatkan jurubahasa Urdu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang murid lelaki menjadi mangsa amang seksual seorang lelaki warga Pakistan.

Perbuatan terkutuk lelaki berusia 20 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia lapan tahun menceritakan kejadian hitam diliwat lelaki itu kepada bapanya.

Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa, lelaki Pakistan itu berjaya diberkas polis. — AlHijrah Online

Leave a Reply