YOUTUBER LELAKI DIREMAN SUSULAN DAKWAAN CABUL

KOTA BHARU: Seorang ‘youtuber’ lelaki hari ini direman dua hari bagi membantu siasatan dakwaan cabul terhadap seorang wanita berusia 24 tahun.

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Suspek berusia 22 tahun tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu kira-kira 10.35 pagi tadi dalam keadaan sugul.

Siasatan terhadap ‘youtuber’ yang juga penerbit dan pengarah drama dalam talian itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan, satu laporan polis dibuat oleh mangsa terhadap suspek pada Jumaat lalu berhubung dakwaan dicabul lelaki terbabit.

Insiden itu berlaku selepas sesi penggambaran sebuah drama arahan suspek pada pagi 2 Ogos lalu di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Laporan itu menyatakan suspek bertindak mencium, memeluk serta meraba bahagian dada dan kemaluan mangsa yang juga pelakon drama itu sebelum melakukan onani ketika mangsa berada berseorangan dalam sebuah bilik tidur di tempat kejadian.

Suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pagi semalam sebelum ditahan bagi siasatan lanjut. — AlHijrah Online

Leave a Reply