ZIKIR PENAWAR MUJARAB KEPADA KESEDIHAN

Oleh: Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary

Bukan mudah untuk sesebuah keluarga menerima kenyataan bahawa mereka telah kehilangan insan tersayang yang bertarung keseorangan di hospital angkara COVID-19.

Paling sedih apabila kita membaca berita ibu-ibu mengandung yang terjangkit COVID-19 dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil.

Apabila kita lihat ke sekeliling kita, begitu ramai yang sedang menghadapi tekanan hidup dalam pelbagai bentuk.

Zikir adalah salah satu penawar mujarab kepada kesedihan. Melalui zikir, Allah S.W.T mengkhabarkan bahawa Dia akan bersama hambaNya selama hamba tersebut mengingatiNya.

Salah satu zikir yang disarankan untuk dibaca dan diperbanyak bacaannya secara mutlak adalah ‘Hauqalah’. Hauqalah ialah ungkapan:

لاَ حَوْلاَ وَلاَ قُوَّةَ إلاَّ باِللهِ

“Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan (pertolongan) Allah”

Ungkapan ‘Hauqalah’ ini sering diucapkan oleh kita namun ada dikalangan kita tidak mengerti apakah maksud di sebalik ungkapan ini.

Hauqalah mengandungi maksud penyerahan diri dan kepasrahan kepada Allah S.W.T.

Ungkapan ini juga sebagaimana dikatakan oleh para ulama’ mengandungi makna ‘isti’aanah (memohon pertolongan) hanya kepada Allah’.

Ini kerana ia mengandungi ikrar bahawasanya seorang hamba sedikitpun tidak memiliki daya dan kemampuan untuk meraih apa yang diinginkan dan menghindar dari apa yang dibencinya kecuali dengan daya dan kekuatan (pertolongan) daripada Allah S.W.T semata-mata.

Antara kelebihan yang telah dikhabarkan oleh Baginda S.A.W ialah sebagai harta kita disyurga seperti yang terkandung dalam sebuah hadis:

ألاَ أَدُلُّكَ عَلَى كَلِمَةٍ هِيَ كَنْزٌ مِنْ كُنُوْزِ الْجَنَّةِ؟ لاَ حَوْلاَ وَلاَ قُوَّةَ إلاَّ باِللهِ

Maksudnya: “Tidakkah engkau ingin aku tunjukkan satu kalimat, yang merupakan harta daripada harta-harta syurga? (iaitulah) ‘Laa haula walaa quwwata illaa billaah’”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dengan memperbanyak ungkapan ini juga menjadi salah satu jalan untuk kita menghapuskan dosa-dosa kita seperti mana sabda Rasulullah S.A.W:

مَا عَلَى الأَرْضِ رَجُلٌ يَقُــوْلُ لاَ إلَهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَـمْدُ لِلّـهِ وَلاَ حَوْلاَ وَلاَ قُوَّةَ إلاَّ باِللهِ،

إلاَّ كُفِّرَتْ عَنْهُ ذُنُوْبُهُ وَلَوْ كَانَتْ أَكْثَرَ مِنْ زَبْدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Tidaklah ada seseorang di atas bumi yang mengucapkan: (yang ertinya: tiada tuhan yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah, Allah Maha Besar, Mahasuci Allah, segala pujian bagi Allah dan tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah), kecuali pasti Allah akan menghapus dosa-dosanya sekalipun dosa tersebut lebih banyak dari buih di lautan”. (HR Tirmizi)

Untuk setiap jiwa yang sedang diuji, marilah kita memperbanyak menyebut Hauqalah ini kerana ianya merupakan ungkapan yang sangat baik atau ‘kalimah thayyibah’ yang memang seharusnya dilazimkan oleh lidah kita sebagai umat Islam.

Hauqalah ini sangat sesuai dibaca ketika kita menghadapi kesempitan, kesusahan, kesakitan, saat berhadapan dengan sesuatu yang tidak kita ingini dan musibah-musibah yang lain.

Dengan kelaziman pada bacaan Hauqalah ini, kita berharap Allah S.W.T membuka jalan keluar atas segala kebuntuan masalah yang tengah kita hadapi.—AlHijrah Online

Penulis adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

One comment

  • Tn, sy ingin menarik perhatian pihak tvalhijrah agar menyiarkan Azan secara langsung Dan tidak secara recording shj. Sesuai dgn penambahbaikan yg ingin dilakukan, pihak altvhijrah perlu memandang bhw Azan secara langsung adalah lebih menepati syariat. Mungkin cara ini susah atau meliibatkan Kos namun sy Rasa pihak media spti radio Dan TV telah terlalu mengambil mudah tentang perkara ini. Sy hrp cdgn ini mendpt perhatian dari tvalhijrah. Terima kaseh.

Leave a Reply