KUALA LUMPUR: Rangkaian kopi tempatan, ZUS Coffee menafikan dakwaan bahawa insiden pekerjanya berada dalam keadaan tegang ketika berdepan dengan seorang pelanggan, telah ditamatkan perkhidmatannya.
ZUS Coffee dalam kenyataan berkata, ‘zurista’ terlibat sedang berehat dan memulihkan diri daripada kejadian tersebut.
Pihaknya telah mengambil langkah wajar bagi menjalankan siasatan menyeluruh selain membela pekerja mereka.
“Kami menggesa semua pihak untuk menghormati privasi mereka yang terlibat dan mengelakkan daripada berkongsi atau menyiarkan semula video yang menunjukkan individu terlibat tanpa kebenaran.
“Semua pihak perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, ZUS Coffe berharap agar semua pihak untuk memberi ruang dan masa sementara pihaknya meneliti kejadian tersebut dengan penuh perhatian selain mengelakkan daripada menyebarkan maklumat yang tidak benar.
“Di ZUS, kami tidak bertolak ansur dengan sebarang sikap atau perilaku yang tidak menghormati komuniti kami.
“Kami akan terus komited bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua,” tambahnya.
Terdahulu, tular video memaparkan pergaduhan antara pekerja ZUS Coffee dengan seorang pelanggan yang mendakwa kopi yang dipesannya lambat disiapkan sebelum mencampakkan air kepada ‘zurista’ tersebut.—