20 TERBUNUH BERTEMPUR DI JAWF, YAMAN

Last Updated on

SANA’A: Pertempuran di antara tentera kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi di timur laut wilayah Jawf semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 20 pejuang daripada kedua-dua pihak, kata jurucakap kerajaan tempatan dalam satu kenyataan rasmi.

Memetik Xinhuanet, pertempuran di kawasan al-Aqabah, pinggir barat daya wilayah Jawf, mencederakan puluhan mangsa dan berpuluh keluarga terpaksa melarikan diri, kata seorang pegawai di Jawf yang enggan dikenali.

Beliau berkata pertempuran itu merebak ke kawasan berhampiran bandar lama Baraqish, juga di Jawf, kira-kira 140km timur laut bandar Sana’a.

Sementara itu, tentera pakatan diketuai Arab Saudi meneruskan serangan udara ke atas kawasan Houthi dengan TV Masirah melaporkan sekurang-kurangnya 21 serangan udara berlaku semalam.

Pertempuran dan serangan udara itu juga memuncak di beberapa bahagian di daerah Nehm di Sana’a ketika pemberontak Houthi menguasai pergunungan yang menghadap jalan yang menghubungkan Sana’a dengan wilayah Jawf dan Marib, demikian menurut laman web pro-pemerintah al-Masdar Online.

Pertempuran di Nehm dan Jawf meningkat selepas serangan peluru berpandu Houthi minggu lalu di wilayah Marib yang mengorbankan lebih 100 tentera Yaman.

Utusan PBB Yaman, Martin Griffiths menyeru semua pihak di Yaman “supaya menghentikan kegiatan kententeraan,” dalam amarannya bahawa peningkatan seperti itu akan menggagalkan proses damai.

Yaman terbelenggu dalam perang saudara sejak lewat 2014 ketika pemberontak Houthi disokong oleh Iran menguasai sebahagian besar wilayah utara negara itu dan memaksa Kerajaan Yaman yang sah diketuai Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi, lari dari Sana’a. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply