55 PETUGAS TV ALHIJRAH TERIMA BANTUAN FOODBANK JAWI

KUALA LUMPUR: Seramai 55 petugas TV AlHijrah yang terjejas akibat penularan COVID-19 hari ini menerima bantuan Food Bank Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Bantuan terbabit berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan makanan kering bernilai RM60 bagi setiap penerima.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata bantuan Food Bank itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM3,300.

Katanya, peruntukan dana itu membabitkan sumbangan masjid, surau Jumaat dan rakan strategik.

“Kita memberikan sumbangan kepada kakitangan TV AlHijrah di mana mereka (bertugas) satu kompleks bersama kami di JAWI KL (di Kompleks Islam Kuala Lumpur) sebagai menyantuni frontliner, petugas media dan kakitangan kerajaan yang terkesan sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya kepada Berita AlHijrah di sini hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan PKP bagi membendung penularan COVID-19 sejak 18 Mac lalu hingga 14 April depan.

Setakat ini, 303,000 makanan siap dimasak disediakan menerusi JAWI Food Bank kepada petugas barisan hadapan seperti pegawai perubatan, jururawat, anggota polis, tentera dan petugas media yang terpaksa menggalas amanah sepanjang tempoh PKP.

Turut diagihkan lebih 500 pek makanan kepada gelandangan di tiga pusat penempatan kelompok itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata bantuan Food Bank JAWI itu akan meringankan beban petugas terjejas.

“Ketika PKP, isi rumah adakalanya bertambah yang mana ada ibu bapa yang mempunyai anak, anak belajar tiba-tiba mereka berada bersama ketika tempoh PKP yang ada mereka yang memerlukan bantuan.

“Kami berterima kasih kepada pihak JAWI atas sokongan dari sudut pemberian makanan penting yang asas kepada petugas frontliner,” katanya.

Program Food Bank JAWI adalah sebahagian misi MusaadahCOVID19 digerakkan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu kelompok terjejas akibat penularan COVID-19.– AlHijrah Online/ Siti Baizura Mohd Shafiee

Leave a Reply