COVID-19: JUMLAH PESAKIT SEMBUH CATAT 121 KES, MELEBIHI KES POSITIF BAHARU

PUTRAJAYA: Jumlah pesakit  yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini ialah 121 orang, sekali lagi melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 109 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,228 kes. 

“Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad ialah 1,608 iaitu sebanyak 38.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Semalam, situasi COVID-19 di negara ini turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad seramai 166 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu 156 kes. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi ialah 72 dengan 43 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari ini, terdapat pertambahan dua lagi kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 67 kematian akibat COVID-19 setakat ini.

“Kes kematian ke-66 (kes ke-2798) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain. Lelaki itu mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9 April, pukul 5 pagi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-67 (kes ke-2864) pula merupakan wanita warga Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

Katanya, wanita itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 (kes ke-2469 dan ke-2470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak, dan beliau bukan peserta persidangan tersebut. 

Wanita berkenaan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9 April, pukul 9.42 pagi. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 416 kes positif COVID-19 dalam kalangan bukan warga Malaysia, termasuk satu kes kematian iaitu kes ke-1906 yang dilaporkan semalam. 

Beliau berkata antara warga asing yang dikesan positif wabak itu ialah rakyat Indonesia sebanyak 51 kes, India (37), Myanmar (31), Pakistan (29) dan Filipina (27).

Menurutnya, KKM bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah, 

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, 137 sukarelawan daripada pelbagai sektor menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply