PKP PERLU DITERUSKAN DENGAN PENAMBAHBAIKAN – IMAM

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir pada 14 April depan perlu diteruskan dengan penambahbaikan, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM).

Penambahbaikan itu termasuk memperketatkan pergerakan di kawasan zon merah secara signifikan dan kelonggaran pergerakan seperti normal harus diberikan kepada kawasan diklasifikasikan sebagai zon hijau.

Jawatankuasa Eksekutif IMAM berkata, ini kerana majoriti model ramalan menjangkakan kes jangkitan COVID-19 akan memuncak pada pertengahan April depan.

Setakat semalam, Malaysia merekodkan 4,228 kes jangkitan COVID-19 dengan 67 kematian.

“Kebanyakan model meramalkan jangkitan memuncak pada pertengahan April antara 6,000 kes hingga 7,000 kes. Kesemua kes ini berpotensi untuk menjangkiti dan merebak di luar kawalan.

“Ini akan mengatasi penjagaan kesihatan kita, hospital dan menyebabkan petugas kita tidak dapat mengatasi masalah ini. Ia juga akan menyebabkan penjagaan tidak mencukupi, kekurangan bilangan petugas dari jangkitan/kuarantin dan lebih banyak kehilangan nyawa.

“Situasi ini mesti dicegah dalam apa cara sekalipun, masa untuk menarik balik PKP bukanlah sekarang,” kata Jawatankuasa Eksekutif IMAM dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata tempoh PKP dilanjutkan selepas 14 April depan atau sebaliknya akan dicadangkan pada hari ini berdasarkan fakta semasa kes jangkitan COVID-19.

IMAM berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Ketua Pengarah Kesihatan dalam situasi genting ini.

“Beliau dan tim perubatan serta petugas barisan hadapan KKM melakukan kerja yang menakjubkan. Moga Allah merahmati mereka semua. Petugas barisan depan telah berperang dengan virus ini walaupun kekurangan PPE (peralatan perlindungan diri) dan kelengkapan lain.  

“Kami bagaimanapun menggesa KKM dan agensi kerajaan lain membantu dalam perolehan dan pengagihan PPE kepada petugas barisan depan. Ia tidak seharusnya menjadi masalah kerana jutaan ringgit peruntukan dan sumbangan telah diperuntukkan,” kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan itu.

IMAM menggesa isu pengagihan PPE dan kelengkapan berkaitan ditangani dengan segera dan diagihkan dengan sewajarnya.

IMAM juga meminta rakyat Malaysia bersabar dalam situasi yang mencabar ini untuk menentang COVID-19.

“Kita mungkin berdepan kesukaran dalam kehidupan kita tetapi jika kita mahu mengalahkan virus ini, kita harus mengamalkan penjarakan sosial, duduk di rumah, membasuh tangan dan memakai penutup mulut dan hidung.

“PKP ini mungkin perlu diteruskan hingga Ramadan dan Aidul Fitri. Kita mungkin tidak akan melalui Ramadan yang sama seperti sebelumnya, tetapi ia tidak semestinya kurang dari Ramadan yang lain. Ia mungkin menjadi Ramadan yang terbaik buat kita, InshaAllah,” kata Jawatankuasa Eksekutif IMAM.

IMAM menegaskan penularan jangkitan akan dikekang sekiranya semua pihak patuh kepada PKP.

“Kita mesti ambil contoh negara-negara yang berjaya mengekang jangkitan COVID-19 di mana PKP ditamatkan selepas negara terbabit mencatatkan jangkitan sifar selepas tempoh 76 hari.

“Jika kita tidak patuh pada PKP, penularan akan terus berlaku dan kita tidak mungkin kembali kepada kehidupan normal,” kata Jawatankuasa Eksekutif IMAM turut menegaskan mengenai keperluan plan jangka panjang kerajaan selepas PKP ditamatkan nanti. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply