70 KEMATIAN AKIBAT COVID-19 DALAM KALANGAN IBU HAMIL – NOOR HISHAM

PUTRAJAYA: Sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan setakat 9 Ogos 2021.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan pada tahun 2020.

“Purata kes COVID-19 bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan.

“Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian,” dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia, hari ini.

Jelas Noor Hisham, data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin COVID-19.

“Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid,” katanya.

Noor Hisham menjelaskan, sejumlah 3,396 kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, dengan anggaran hampir satu peratus ibu hamil telah dijangkiti.

Tambahnya, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (850 kes) dan Jun 2021 (899 kes).—AlHijrah Online

Leave a Reply