AGONG NASIHAT RAKYAT MALAYSIA DI LUBNAN BERHATI-HATI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihati rakyat Malaysia di Beirut, mengambil langkah berhati-hati berikutan insiden letupan kuat di pelabuhan di ibu kota Lubnan itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Al-Sultan Abdullah turut menasihati seluruh anggota Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang ditempatkan di Lubnan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan tugas dan operasi di negara tersebut.

“Baginda turut menyarankan seluruh anggota MALBATT 850-7 tersebut supaya berada dalam keadaan siap siaga untuk memberi bantuan bencana dan kemanusiaan serta menghadapi sebarang kemungkinan.

“Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat Malaysia di negara Asia Barat dan baginda menzahirkan rasa syukur kerana tiada rakyat Malaysia yang terjejas dan mengalami sebarang kecederaan berikutan letupan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat Malaysia di Beirut, khususnya kakitangan kedutaan dan pelajar Malaysia, supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan terkini dan berada di dalam rumah sehingga situasi kembali normal.

“Rakyat Malaysia di Lubnan turut disarankan untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut untuk sebarang bantuan, pertanyaan dan maklumat terkini serta mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Lubnan demi keselamatan diri.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia di Lubnan terus dilindungi daripada semua bentuk ancaman dan kesusahan serta dikurniakan rahmat dan keselamatan,” katanya – AlHijrah Online

Leave a Reply