AKSI BIADAP THE 1975: PDRM AKAN BERURUSAN DENGAN PIHAK BERKUASA UK

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berurusan dengan pihak berkuasa United Kingdom (UK) sekiranya terdapat proses pendakwaan berhubung aksi tidak senonoh kumpulan muzik British, The 1975 di konsert Good Vibes Festival 2023 yang diadakan di Sepang, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kes itu tidak akan melibatkan Polis Antarabangsa (Interpol) kerana bukan jenayah berat seperti bunuh dan culik.
“Kesalahan ini juga dilakukan di Malaysia, bukan di luar negara jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Interpol untuk kes seperti ini. Jadi PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu katanya terdapat pihak yang mendakwa PDRM lambat mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa kumpulan itu telah pulang ke negara asal selepas enam jam membuat persembahan.
“Insiden berlaku pada 21 Julai pada jam 11.30 malam, difahamkan selepas insiden berkenaan konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke UK pada jam 5.30 pagi.
“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Ayob Khan mengulas, setakat ini pihaknya telah menerima 18 laporan berhubung kejadian degan lapan daripada kontinjen Selangor dan 10 daripada kontinjen luar.
Dalam masa yang sama, polis telah mengambil 13 keterangan di mana enam daripada pengadu, enam daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan seorang penganjur.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya.
Sebelum ini, vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).—AlHijrah Online