ATLET BERAGAMA ISLAM SELESA DI PERKAMPUNGAN ATLET CLARK DENGAN MAKANAN HALAL, BILIK SOLAT

Last Updated on

6

NEW CLARK CITY: Di sebalik pelbagai kritikan yang diterima Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) susulan kegagalan mereka menyelesaikan beberapa isu berbangkit, beberapa atlet dan jurulatih dari negara ASEAN memuji kemudahan lengkap yang disediakan di Perkampungan Atlet Clark (New Clark City Athletes’ Village), di sini.

Pesilat wanita Brunei, Anisah Najihah Abdullah yang ditemui Bernama di Perkampungan Atlet berkenaan, berpuashati dan kagum dengan kemampuan tuan rumah menyediakan kemudahan terbaik untuk atlet yang bertanding, selain turut peka dengan menyediakan makanan halal kepada atlet yang beragama Islam.

“Walaupun saya tinggal di Subic kerana acara silat berlangsung di sana, namun saya kagum dengan kemudahan yang ada di Perkampungan Atlet di sini yang boleh dikatakan hampir sama yang terdapat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, dan lebih penting saya mudah mendapatkan makanan halal,” katanya yang mengakui masalah kesesakan trafik menjadi rungutan banyak atlet bertanding.

Anisah Najihah yang membuat penampilang sulung dalam acara Silat Seni Puteri pada Sukan SEA kali ini, turut yakin Filipina mampu menyelesaikan beberapa masalah yang membelenggu mereka walaupun menerima kritikan hebat daripada media tempatan.

Berkongsi pandangan sama adalah pesilat lelaki Brunei, Muhd Isyraq Zulfadhli Ali yang memuji tuan rumah kerana menyediakan makanan halal, selain beberapa kelengkapan lain yang menjadi gim, tempat riadah dan bilik solat.

“Daripada pandangan saya, saya cukup berpuashati dengan kemudahan yang ada, selain makanan halal turut disediakan kepada atlet yang beragama Islam, cuma perjalanan dari sini ke Manila mengambil masa yang agak lama kerana kesesakan trafik,” katanya.

Turut menyuarakan sentimen mereka adalah jurulatih Arnis Filipina, Reignrose Esquira yang sangat gembira dengan pelbagai penginapan yang disediakan di Kampung New Clark City ‘New Village.

Bagi saya, sangat luar biasa untuk melihat banyak kemudahan yang disediakan di Kampung Atlet ini, dan makanan juga lazat, dan ruang bilik agak besar walaupun separuh lengkap dan saya tidak melihat kekurangan dalam kemudahan di desa atlet ini,” menurut Reignrose.

Atlet wanita Arnis, L Sheilar Min Naing dari Myanmar, juga memuji tuan rumah terhadap kemampuan menyediakan pelbagai penginapan untuk negara-negara yang bersaing walaupun menghadapi beberapa kekurangan di kawasan lain seperti di Manila.

Seramai 214 atlet dan pegawai Malaysia ditempatkan di perkampungan athlete ini yang terletak kira-kira 90km dari Manila.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov ini akan berakhir pada 11 Dis, menampilkan 56 sukan di tiga kluster – Manila, Clark dan Subic. — BERNAMA

Leave a Reply