BAIKI SAHSIAH DIRI, ELAK JADI MENTALITI KON

Insiden kemalangan pertama di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Ahad lalu sangatlah memalukan negara sekiranya ia ditaakul dengan minda waras dan kritis. Ini kerana punca kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal dan sebuah kereta itu adalah sikap tidak bertanggungjawab.

Negara yang baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-65, namun masyarakat masih belum berganjak dari kemunduran tingkah laku dan sikap. Enam dekad terlepas daripada belenggu penjajah tidak membebaskan segelintir warganegara daripada sifat buruk yang menyusahkan orang lain.

Bayangkan, dalam masa tiga hari dari tarikh dibuka pada 16 September lepas, telah berlaku kemalangan mengakibatkan kecederaan fizikal. Tindakan pemandu kereta berhenti di lorong kecemasan demi merakam gambar persekitaran yang indah bukanlah kes pertama melibatkan sikap tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya.

Kes langgar lari, pemandu mabuk mengakibatkan kematian, memotong di lorong kecemasan dan pelbagai lagi kes berulang berkaitan pelanggaran peraturan lalu-lintas sering terpapar di media perdana juga tular media sosial.

Sangatlah mengecewakan kita apabila kemalangan menyebabkan kematian adalah berpunca dari kecuaian dan sikap kerana ia termasuk kategori kemalangan yang boleh dielakkan. Ini kerana di negara kita, telah banyak penambah baikan dari segi prasarana jalan raya.

Namun sebaliknya berlaku; semakin elok jalan raya, semakin buruk pula kerenah pengguna. Sikap rakyat sangat tidak selari dengan kemajuan negara.

Keterujaan tanpa kesedaran sivik ini mungkin akan mengorbankan lebih ramai mangsa sekiranya hanya nasihat didaktik diberikan setiap kali berlaku pelanggaran peraturan jalan raya. Tindakan tegas berbentuk penguatkuasaan wajib diambil supaya perumpamaan ‘’beruk mendapat bunga” tidak berlaku.

Saranan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) Datuk Mohammad Azlan Abdullah supaya pengguna menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku hanyalah bagai mencurah air ke daun keladi sekiranya tidak disusuli dengan penguatkuasaan yang sewajarnya.

Usaha beliau untuk menempatkan papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” di kawasan tertentu serta menempatkan kon keselamatan di lokasi yang dikenal pasti menjadi spot golongan “penghok” merakam pemandangan bukanlah satu penyelesaian.

Kita sudah muak melihat barisan kon di merata tempat dalam negara, usahlah lagi ditambah pula di lebuh raya SUKE. Selain mencacatkan pemandangan, ia indikasi masyarakat yang sakit; iaitu masyarakat yang sudah jauh dari pendidikan akhlak dan moral serta tidak mampu berfikir baik buruk sesuatu tindakan.

Sikap sebegini tidak boleh diatasi hanya dengan kon, tetapi memerlukan penyelesaian secara holistik oleh pelbagai pihak.

Pendidikan yang mengutamakan pembentukan sahsiah diri dan menumbuhkan kesedaran dalaman masyarakat haruslah menjadi tunjang utama gerak kerja kerajaan bagi melahirkan sebuah negara yang bercirikan negara maju.

Apatah lagi dalam kerancakan masyarakat menari atas pentas teknologi komunikasi dan mendepani gelombang Revolusi Industri Keempat (IR4), masyarakat yang mempunyai kesedaran agama dan bersahsiah tinggi sahajalah yang mampu menghalakan segala teknologi ke arah kebaikan.

Sekiranya mentaliti dikawal kon dan papan tanda amaran ini masih subur dalam masyarakat, usah mengharap negara akan maju tanpa masalah sosial kerana kemajuan tanpa agama dan tatasusila hanya akan memporak-perandakan sesebuah tamadun.

Penulis adalah Wartawan TV AlHijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply