BANJIR: JAKIM ANJUR BACAAN YASIN, SOLAT HAJAT, DOA SELAMAT ESOK

Gambar Hiasan. — Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan bacaan yasin, solat hajat dan doa selamat susulan musibah banjir di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, program munajat itu akan diadakan serentak di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selepas solat Maghrib pada 22 Disember 2022.

“JAKIM turut menjemput dan mengesyorkan semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara untuk turut sama mengadakan program seumpamanya agar kesatuan usaha dan doa seluruh umat akan menambahkan lagi keberkatan doa,” katanya.

Program munajat yang dijalankan JAKIM susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengenai saranan kepada umat Islam untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir.

Selain JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan turut mengadakan solat hajat esok serta selepas solat Jumaat pada 23 Disember 2022. – AlHijrah Online

Leave a Reply