BANJIR: JAWI ADAKAN SOLAT HAJAT, KUTIPAN JUMAAT UNTUK MANGSA

Gambar Hiasan. — AFP

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menganjurkan solat hajat selepas solat Maghrib pada 22 Disember 2022 susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat hajat akan turut diadakan selepas solat Jumaat pada 23 Disember 2022 bagi memohon perlindungan Allah SWT dan keselamatan untuk negara Malaysia dari sebarang musibah.

 “Selain itu, masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan juga telah digerakkan bagi mengadakan Kutipan Jumaat serta menghulurkan bantuan dan keperluan bersesuaian melalui Skuad Musaadah agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk disampaikan kepada golongan yang terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendoakan pasukan penyelamat dikurniakan keselamatan dan kemudahan serta ketabahan buat mereka yang diuji dengan musibah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar hari ini telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan solat hajat di tiga buah masjid utama seliaan JAKIM serta pihak JAWI untuk mengadakan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau Wilayah Persekutuan.

Katanya  umat Islam di seluruh negara diseru untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir serta kemudahan dan kesegeraan penemuan mangsa.

Setakat 10 malam Selasa, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri meningkat kepada 71,208 dengan Kelantan dan Terengganu terus merekodkan peningkatan bilangan mangsa.

Jumlah keseluruhan itu turut melibatkan mangsa banjir di Pahang, Perak dan Johor. – AlHijrah Online

Leave a Reply