BANTUAN BANJIR: JAWI FOOD BANK SALUR LAGI 10,000 KAMPIT BERAS

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui inisiatif JAWI Food Bank telah menggerakkan misi bantuan kemanusian ke Pahang dan Kelantan yang ditimpa bencana banjir baru-baru ini.

Misi yang dilaksanakan dengan kerjasama masjid-masjid di Wilayah Persekutuan serta rakan strategik itu akan menyalurkan keseluruhan 10,000 kampit beras.

“Misi Bantuan Banjir ke Temerloh Pahang pada 15 Januari 2021(Jumaat) dengan penghantaran bantuan keperluan asas berupa 5,000 kampit beras seberat 25 tan bernilai RM 62,500.00.

“Manakala misi Bantuan Banjir ke Kelantan pada 19 Januari 2021 (Selasa) dengan penghantaran bantuan keperluan asas berupa 5,000 kampit beras seberat 25 tan bernilai RM 62,500.00,” jelas kenyataan JAWI hari ini.

Menurut JAWI, kedua-dua siri bantuan tersebut adalah susulan misi bantuan kemanusiaan yang telah dilaksanakan melalui Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah,Taman Sri Rampai, Setapak ke Chini, Pekan Pahang dengan kerjasama JAWI Food Bank bersama 19 buah agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain pada 11 Januari 2021 (Isnin) dengan penghantaran bantuan seperti beras, lampin pakai buang, kain pelikat, kain batik, telekong dan pelbagai keperluan harian mangsa banjir dengan nilai bantuan RM150,000.00.

Keseluruhan nilai bantuan yang terlibat dalam semua misi tersebut menurut JAWI adalah berjumlah RM275,000.00.

“Misi bantuan ini bertujuan menghulurkan bantuan asas kepada mangsa banjir serta bersolidariti bersama kesukaran dan kepayahan yang dialami mangsa tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Ia juga merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat masjid-masjid di Wilayah Persekutuan kepada para penduduk yang terkesan dengan musibah yang melanda,” tulis kenyataan JAWI.

Majlis pelancaran Misi Bantuan JAWI Food Bank ke Pahang hari ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal EHwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal EHwal Agama) , Ahmad Marzuk Shaary dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail. – AlHijrah Online

Leave a Reply