BAPA TAK MENGAKU BERSALAH HEMPAS ANAK

KUALA KANGSAR: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Ramly, 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Menurut pertuduhan, Mohd Faizal yang tidak bekerja didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada anaknya di rumah mereka di Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas, Kuala Kangsar pada pukul 8.20 malam 2 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Terdahulu dalam mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya di Pejabat Narkotik Kuala Kangsar pada pukul 11.20 malam 14 Januari lalu.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bermula hari ini dan dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun.

Kedua-dua pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa PDRM, Inspektor Noridah Dali manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd Yusof.

Selasa lalu, polis menahan lelaki terbabit kerana disyaki menghempas anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ke lantai selepas kanak-kanak itu meminta air daripadanya.

Kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu menyebabkan kanak-kanak perempuan tersebut mengalami luka pada dahi selain bengkak selepas kepalanya terkena bucu meja makan ketika dihempas bapanya itu. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply