CUBAAN MEMOTONG JADI PUNCA LELAKI MARAH, PUKUL PEMANDU WANITA – POLIS

KUALA LUMPUR: Cubaan memotong kenderaan menjadi punca insiden lelaki memukul kepala serta mengeluarkan kata kesat terhadap pemandu wanita seperti video yang tular hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN – POLIS TAHAN LELAKI PUKUL KEPALA, KELUARKAN KATA KESAT KEPADA PEMANDU WANITA
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pemandu wanita terlibat dalam kejadian itu, kira-kira jam 10 pagi tadi di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Katanya, Polis Daerah Tapah turut mengesan sebuah video berdurasi 59 saat menerusi laman Facebook milik Saleha Fayyad kira-kira jam 3.30 petang tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Isnin 5 Jun jam 5.33 petang di mana pengadu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berumur 17 tahun itu hendak memotong sebuah kereta Persona yang berada di hadapannya namun tidak dapat.
“Kemudian suspek berkenaan telah menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan raya mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya suspek turut bertindak turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa.
“Apabila pengadu buka cermin suspek telah memarahi pengadu secara tiba-tiba selain memukul kepala pengadu dan mengeluarkan kata-kata ugutan,” katanya.
Hasil semakan pihak polis mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Tanjung Karang, Selangor.
Usaha mengesan suspek berjaya dibuat di sekitar daerah Serdang, dan suspek berusia 29 tahun itu ditahan dan dibawa ke IPD Tapah, Perak bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.—AlHijrah Online
Pingback: POLIS TAHAN LELAKI PUKUL KEPALA, KELUARKAN KATA KESAT KEPADA PEMANDU WANITA – ALHIJRAH ONLINE