FASA KEDUA PPN: PASANGAN JARAK JAUH DIBENARKAN RENTAS NEGERI

PUTRAJAYA: Pasangan jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri dan daerah dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanaran itu tertakluk kepada kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ramai yang mahu mendengar mengenai pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh. Malah, saya sendiri ada menerima rayuan berhubung perkara ini.

“Jadi fasa dua ini, kita membenarkan rentas negeri dan daerah kepada pasangan jarak jauh tetapi hanya bagi kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan PDRM.

“Kecemasan kita tahu tetapi ini kes-kes khas misalnya isteri hendak melahirkan atau mempunyai anak yang masih bayi jadi perlukan suami untuk hadir bersama, kerana anak tidak sihat dan sebagainya, itu kita benarkan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara maya, hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Ismail turut memaklumkan individu yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan untuk keluar bagi yang mempunyai janjitemu menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Bagaimanapun, kebenaran tersebut hanya membenarkan seorang sahaja namun bagi yang uzur atau orang kurang upaya (OKU), kelonggaran diberikan bagi yang memerlukan peneman.

“Bagi individu yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan terpaksa menempah kenderaan e-hailing, kita benarkan kapasiti penumpang seramai tiga orang

“Ini adalah untuk individu warga emas atau OKU yang memerlukan peneman dan tiada kenderaan sendiri untuk ke tempat menerima vaksin.

“Ia bermaksud dua penumpang dan seorang pemandu e-hailing berkenaan,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply