Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HILANG DIHANYUT AIR LONGKANG: ADIK MENINGGAL DUNIA DI HOSPITAL, ABANG MASIH HILANG 

DALAM NEGARA

HILANG DIHANYUT AIR LONGKANG: ADIK MENINGGAL DUNIA DI HOSPITAL, ABANG MASIH HILANG 

Mangsa yang berusia 12 tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh.

KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras bersama abangnya ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang, malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN – DUA KANAK-KANAK HILANG DIHANYUTKAN AIR LONGKANG
ARTIKEL BERKAITAN – DUA BERADIK LEMAS: MAYAT ABANG DITEMUI PADA HARI KETIGA SAR

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa, Kayyum Shaqeel Khairul Ikram, 12, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh.

“Kanak-kanak lelaki itu ditemukan tidak sedarkan diri di Sungai Kantan dan diberikan bantuan kecemasan pada 7.47 malam sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

“Tapi sedihnya, dukacita saya maklumkan pada 10 malam tadi, beliau telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, di sini malam ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat juga masih berjalan bagi mencari abang kepada mangsa yang berusia 14 tahun.

Operasi SAR melibatkan kekuatan sebanyak 35 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naazron berkata tiga pasukan telah dibentuk bagi melaksanakan pencarian di kawasan berkenaan sehingga ke pertemuan muara di Sungai Langat.

“Setakat ini kami masih belum menemui mangsa kedua. Insya-Allah, selagi keadaan cuaca mengizinkan, kami akan teruskan pencarian. Jika keadaan tidak mengizinkan, kami mungkin hentikan seketika dan akan sambung semula esok pagi.

“Kami berharap dan berdoa supaya kita dapat menemukan adik yang masih hilang ini dalam tempoh terdekat bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata radius pencarian adalah dalam lingkungan lima kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

“Kaedah yang kami gunakan termasuk meranduk air. Kami telah bentuk tiga pasukan termasuk satu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA). Di kawasan mangsa pertama ditemukan tadi, kami turut dibantu oleh satu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba,” katanya.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan turut hadir mengikuti perkembangan operasi SAR berkenaan dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota dan penduduk setempat yang terlibat dalam membantu operasi berkenaan.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading