IBU, EMPAT ANAK MAUT KERETA REMPUH LORI

KAMPAR: Seorang wanita bersama empat anaknya maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat merempuh bahagian belakang sebuah lori berhampiran Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan Kampar awal pagi tadi.
Mangsa Azriyani Abdul Latif, 45, bersama anaknya Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden pukul 2.27 pagi itu.
Seorang lagi anak mangsa, Muhammad Fawwaz Nasarudin, 7, meninggal dunia ketika diberi rawatan di Hospital Tapah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, Proton Saga dipandu Muhammad Azib dalam perjalanan ke Tapah telah melanggar bahagian belakang lori muatan tanah dan terbakar.
“Kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.
“Semua mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Empat daripada mereka maut di tempat kejadian manakala seorang berada dalam keadaan kritikal dan telah dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa maut telah dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.
Katanya, pemandu lori berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kebakaran melibatkan bahagian hadapan kereta.
Menurutnya, kebakaran tersebut bagaimanapun telah dipadamkan orang awam menggunakan alat pemadam api.
“Semasa kejadian terdapat dua mangsa tersepit dan anggota membuat penyelamatan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
“Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan,” katanya.–AlHijrah Online / Hamimah Hamid