Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

IBU HAMIL TUJUH BULAN REDAH BANJIR LEBIH 500 METER

DALAM NEGARA

IBU HAMIL TUJUH BULAN REDAH BANJIR LEBIH 500 METER

Setiap langkah terasa berat, bukan kerana kandungan tujuh bulan yang dibawanya, tetapi kerana bimbang akan paras air banjir yang semakin meningkat, dan dalam masa yang sama dia juga perlu menjaga keselamatan keluarga kecilnya.

Sumber: BERNAMA

KOTA BHARU: Setiap langkah terasa berat, bukan kerana kandungan tujuh bulan yang dibawanya, tetapi kerana bimbang akan paras air banjir yang semakin meningkat, dan dalam masa yang sama dia juga perlu menjaga keselamatan keluarga kecilnya.

Berikutan itu, Nik Nor Nadia Nik Ibrahim, 24, tetap meredah banjir separas paha sejauh 500 meter, sambil menggenggam erat tangan anak lelakinya Zarif Ayden Mohd Zaid, 3, untuk keluar dari rumah mereka di Kampung Panji yang tenggelam dalam sekelip mata.

Hujan yang tidak berhenti sejak Jumaat lepas katanya, menyebabkan paras air naik lebih cepat daripada kebiasaan sebelum melimpah masuk ke ruang tamu rumah pada kira-kira 3 petang, Sabtu.

“Selalunya, kami tunggu dulu kerana lazimnya air akan surut dalam masa yang singkat, tetapi kali ini arus kuat … air melimpah laju ke dalam rumah, saya tidak sempat selamatkan apa-apa,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Islah di sini.

Sambil ditemani kakaknya, Nik Syazwana, 29, Nik Nor Nadia dan anaknya perlahan-lahan meredah air keruh itu, mencari kawasan lebih tinggi untuk berlindung buat sementara waktu.

“Sebaik kami tiba di tempat selamat, suami saya Mohd Zaid Ghani, 29, yang ketika itu bekerja di kilang ais berhampiran, datang mengambil dan membawa kami ke PPS. Syukur semuanya okey, walaupun pengalaman ini kali kedua kami terpaksa berpindah,” katanya.

Sementara itu, di PPS SK Jelawat, seorang ibu tunggal, Norsalina Che Mat, 42, berkata banjir kali ini antara yang paling mencemaskan pernah dilaluinya sejak menetap di Kampung Mujur lebih 10 tahun lepas.

Menurutnya, air naik begitu cepat menyebabkan dia hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting dan pakaian anak-anak sebelum keluar dari rumah pada awal pagi Ahad.

“Biasanya banjir naik perlahan-lahan, tetapi pagi itu semasa keluar rumah nak tengok parit, air dah sampai ke lutut. Saya terus panggil anak saya (Nur Aysha Alimin, 7,) dan kami segera keluar sebelum arus semakin kuat.

“Kalau tidak bertindak cepat, memang tak sempat nak selamatkan apa-apa. Syukur, pihak APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sampai awal dan membawa kami ke PPS ini,” katanya.

Walaupun keadaan sesak di PPS berkenaan, kelihatan penduduk saling membantu, terutama ketika menguruskan makanan dan tempat tidur.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading